Saturday, November 12, 2011

Kisah Insyirah Demam.

Sebenarnya sudah lama Insyirah demam, kira-kira 3 minggu yang lepas. Mula dengan batuk-batuk, telinga bernanah dan seterusnya badan dia mula panas.

Mula-mula kami bawa dia pergi klinik biasa. Kami tak mahu bawa ke klinik pakar sebab ramai kata ubat dia dosnya tinggi. Kasihan Insyirah, kecik-kecik kena makan ubat dos tinggi. Doktor cakap ada sikit jangkitan kuman. Lepas tu doktor periksa paru-paru, ada sikit kahak. Doktor bagi ubat titik kat telinga, ubat demam, ubat batuk, ubat kahak (rasa-rasa tu ubat selsema la), dan antibiotik. Itulah masalahnya bila pergi klinik yang tak bagi nama saintifik ubat. Tak boleh rujuk dengan mana-mana doktor.

Oklah, balik bagi Insyirah makan ubat. Selang beberapa hari, dia jadi selsema pulak. Ada hingus meleleh-leleh. Benda yang dirisaukan dah berlaku. Amat berharap Insyirah tak demam, batuk, selsema dan cirit-birit. Tapi, semua kuasa Allah kan?

Tiba-tiba teringat kepada pembacaan sebelum ini. BAYI DIBAWAH UMUR 1TAHUN TIDAK BOLEH DIBERI UBAT BATUK DAN SELSEMA. Owh, macam mana saya boleh lupa. Ada lagi, ANTIBIOTIK JUGA DILARANG. Tapi, dalam kes Insyirah antibiotik untuk masalah telinga dia. Aduh! rasa bersalah datang bertimpa-timpa. Saya diamkan. Terus berhenti bagi antibiotik dan semua ubat. Cuma bagi ubat demam saja.

Dah seminggu Insyirah tak baik lagi. Malam Sabtu tu tiba-tiba badannya makin panas. Saya sabarkan hati. Doa moga tiada apa-apa yang buruk terjadi. Kami cuma tampal cool-fever. En.Suami pun suruh tunggu pagi esok untuk bawa Insyirah ke hospital.

Hari Sabtu, bawa Insyirah ke Hospital Bukit Mertajam. Ya Allah ramainya orang. Majoriti deman, batuk dan selsema. Doktor yang periksa Insyirah tu bagi Salbutamol, Bromehexine, Paracetamol dan antibiotik dalam kuantiti yang sedikit. Search juga pasal nama-nama ubat ni. Salbutamol dan Bromehexine ni untuk cairkan kahak. (jadi ibu dan ayah kenalah banyak membaca). Ubat-ubat ini akan menggalakkan Insyirah batuk. Kerana batuk adalah satu proses membuang kahak dari paru-paru.

Kami suami isteri aplikasikan pula kaedah tepuk untuk buang kahak tu. Kaedah tu pun kami search di internet. Lepas tepuk-tepuk Insyirah akan muntah. Nanti dalam muntah tu ada lendir pekat keluar dengan susu yang dia minum. Memang kasihan tengok Insyirah. Tapi, kami cekalkan hati. Saya juga perasan najis Insyirah ada lendir-lendir. Itu saya yakin kahak Insyirah yang dia tertelan.

Lepas seminggu batuk Insyirah masih belum sembuh. Kami pilih untuk buat nebuliser pulak. Kali ini kami pergi hari kerja. Sebab saya tak mahu ke bahagian emergency. Doktor tu pun cadang buat nebuliser sebab masih ada kahak dalam paru-paru dia. Saya ingat nebuliser itu sangat menyakitkan. Rupanya ianya adalah proses Insyirah sedut gas untuk mencairkan kahak. Ala macam orang semput sedut gas tu.

Memanglah Insyirah meronta. Nurse cakap, gas tu sejuk Insyirah mungkin tak selesa bila dia tarik nafas.

Inilah rupanya Insyirah masa proses Nebuliser tu. Dia mungkin tak suka benda tu kat muka dia.

Malam itu pula kebetulannya kawan En.Suami (Ust Rizal) datang menyinggah. Dia ajar kami untuk tekan-tekan di titik akupuntur Insyirah untuk merangsang kahak keluar. Apa-apa sahajalah, asalkan bukan memberi Insyirah ubat batuk atau ubat selsema.

Alhamdulillah, esoknya Insyirah muntah keluar lendir pekat selepas menyusu. Itulah muntah terakhir dia. Alhamdulillah Insyirah (kegembiraan) kami dah kembali.

Huh! Panjangnya cerita..En.Suami kata jangan tulis panjang-panjang. Tapi, tak bolehlah nak pendekkan cerita ini. Owh ya, saya masih lagi rasa bersalah bagi Insyirah ubat batuk. Jadi ibu ni kita kene tabah. Tipulah kalau saya tak kasihan tengok Insyirah batuk dan muntah. Tapi, saya cekalkan hati dan tidak mendengar kata-kata orang sekeliling supaya bagi Insyirah ubat yang kuat. Saya yakin untuk apa yang saya buat. Alhamdulillah, En.Suami pun sentiasa menyokong saya. Terima kasih sayang.




Ini video makan ubat. Dia akan katup mulut rapat-rapat bila picagari tu sampai bbir dia.

Wednesday, November 9, 2011

Entri Comeback!

Ha...Entri pun ada comeback? Iyalah setelah sekian lama blog ini menyepi. Adalah setahun kan? Akhirnya saya kembali mahu menulis. Agar apa yang berlaku dalam hidup ini boleh diabadikan lebih-lebih lagi perihal si kecil Insyirah.

Mungkin ada yang tertanya mengapa sunyi dan senyap selepas zaman kampus. Apatah lagi setelah berkahwin. Maka mungkin ada yang beranggapan saya dilanda sindrom futur. Seorang gadis yang dulunya lincah kesana-kemari. memecut laju WDE dan juga JJW tiba-tiba hilang tanpa berita. Nantilah sedikit-sedikit akan dicerita kepada semua apa jadinya kepada Siti Hajjar Hassan sepanjang 9 bulan dia di Kuala Lumpur.

Kini, saya kembali ke Pulau Pinang. Mengikut suami yang ingin menabur budinya di sini. Moga diganjari Ilahi niatnya itu. Saya?? Tiada apa yang saya lakukan. Hanya menjadi pemudah cara untuk suami saya melakukan tugasnya. Saya juga berharap jasa sekecil itu tetap dikira oleh Allah.

Rindu? Tipulah kalau saya tak rindu pada usrah, rindu untuk menatap wajah sahabat, rindu pada kerja-kerja islami, atau selalu kita sebut perjuangan. Saya harap apa yang saya lakukan selama ini masih dikira satu amal islami. Dan saya juga sentiasa berdoa agar Allah kekalkan saya dan keluarga dalam landasan perjuangan ini. Saya juga sedang belajar untuk redha apabila tidak berpeluang ke program. Kerna dahulunya saya sentiasa ada program-program menarik.

Tapi, hidup itu penuh dengan perjuangankan? Kalau di kampus dulu kisahnya kepada perjuangan mahasiswa. Kini, saya adalah Ibu yang BERJUANG untuk menyusukan anaknya sehingga 2tahun. Mungkin ada yang memandang sinis perjuangan ini. Tapi, percayalah ramai yang tersungkur dipertengahan dan mungkin langsung gagal sepenuhnya. (Ya, Allah moga aku terus kuat dan tabah). Nampak poyokan??

Saya juga harus berjuang untuk mendiidik Insyirah. Banyak impian kami sandarkan pada Insyirah. Nak Insyirah jadi itulah inilah. Namun, semuanya tidak akan tercapai andainya kami tidak mendidik dia dengan cara yang betul. Melihatkan anak-anak hari ini begitu pesat perkembangannya membuatkan kami perlu bersedia lebih awal unutk menghadapi Insyirah yang semakin besar.

Sedang mencari ruang dan peluang untuk menabur bakti di Pulau Pinang. Moga Allah permudahkan urusan kami. Amiin.
Owh ya, saya juga sedang berjuang untuk menulis dalam Bahasa Melayu penuh. Bukan lagi bahasa rojak.

Disqus for Love Insyirah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...