Monday, May 27, 2013

Kanser dan Support Group

Kalau hari tu saya sedih, Alhamdulillah hari ini saya lebih tenang. Semalam, selepas solat hajat saya mengaji. Dan saya rasa seolah olah Allah sedang berbicara dengan saya melalui kalamNya. Tenang dan tenteram jiwa ini. Alhamdulillah. Allahu Akbar. Maha SuciMu ya Allah. Ya Allah jangan kau tarik nikmat ini yaAllah.

Masa mula mula saya sakit Allah takdirkan dua insan ini datang pada saya. Alhamdulillah mereka banyak membantu saya dalam melawan  kanser.  Alhamdulillah, Allah hantar dua insan ini tepat pada masanya. Di kala saya teraba mencari kekuatan dalam kegelapan. Alhamdulillah akhirnya saya hadapi ABVD dengan selamat. Terima kasih Uncle Jamaludin (ayah kakak angkat saya di sekolah) dan Wahida dari UPM (silent reader bolg suami). Uncle Jamaludin bekas pesakit Non Hodgkin Lymphoma dan Wahida Hodgkin Lymphoma.


Mereka kongsikan pengalaman mereka. Mereka tiupkan semangat untuk saya. Alhamdulillah saya dapat hadapi dengan tenang sepanajng tempoh ABVD.


Dan kini, bila saya rasa takut untuk hadapi transplan Allah takdirkan perkenalan dengan Kak Zaleha melalui Kak Zarina. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Banyak perkongsian daripada Kak Zaleha yang pernah menjalani transplan. 

Sungguh, saya telah serahkan semuanya pada Allah. Saya serahkan semuanya pada Doktor. Saya hanya berdoa dan bertawakkal agar semua dipermudahkan. Tapi, bila ada yang bertanya dan seolah meragui keputusan ini, saya lemah kembali. Kadang kala air mata ini tak dapat saya tahan. 

Saya rasa sepanjang saya sakit ini 'support' orang sekeliling yang mengalami amat amat membantu saya menaikkan semangat saya. Walaupun dikatakan kanser saya kategori yang kurang famous. Namun, ia tetap kanser dan sudah di tahap 4. Saya juga perlu melawan dan tidak boleh mengabaikannya. Maka, saya cari sokongan yang lain. Alhamdulillah, tiga insan ini saya anggap sebagai cancer support gruop saya walaupun mereka sendiri tidak mengenali satu sama lain. 

Keluarga sahabat adalah moral support saya untuk saya lawan kanser ini. Mereka kekuatan saya untuk hidup sihat. Maka saya harapkan doa anda semua untuk saya kuat.

Sunday, May 26, 2013

Transplan

Hari ini jiwa benar benar sayu. Sesungguhnya apa yang berlaku pada saya ini satu ujian yang berat untuk saya dan keluarga. Hanya doa semoga Allah mudahkan urusan kami, ringankan beban kami dan semoga sembuhlah saya dari sakit ini.

Melihatkan risalah tentang transplan buatkan hati saya sangat sayu. Sukarnya untuk buat pilihan ini. Perubahan besar untuk saya. Ianya harapan besar buat saya dan keluarga. Saya mohon supaya ini yang terbaik untuk saya.  Saya cuba menahan sedu semasa mengaji. Saya mohon kekuatan dari Allah untuk tempuhi ini. Saya katakanpada diri. Ramai yang mendoakan. Ramai yang menanti saya. Insyirah dan suami sumber kekuatan saya.

Semoga Insyirah tidak merasa kurangnya kasih saya padanya. Biarpun masa saya dengannya sangat terbatas. Saya harap dia rasa kasih tulus itu. Kalau dapat ingin saya dakap dia selalu.

Untuk transplan ini saya akan tinggalkan dia dalam seminggu hingga dua minggu untuk pengambilan air sum sum tulang di Hospital Ampang. Selepas itu duduk di wad selama sebulan untuk proses pemindahan di Hospital Pulau Pinang. Biarpun banyak desas desus. Tidak kurang yang menghalang namun, ini pilihan. Dan saya pilih untuk ini. Saya mohon pada Allah agar dia memelihara saya. Agar perjalanan ini berjalan dengan baik dan jaya. Agar dia berkati hidup kami sekeluarga. Sungguh hati sayu, sedih dan gementar saat ini.


Ya Allah, hamba sering lalai dan leka. Dakaplah hamba dengan rahmat kasih sayangMu. Kurniakanlah kesembuhan pada sakitku. Ringankan beban hambaMu

Monday, May 6, 2013

Kimoterapi ICE-Cycle1

Namanya kimoterapi ICE. Mana datangnya nama ICE ni. Nama regim ubat tu memang ICE. Tiada kaitannya dengan air batu.

Nampaknya pengalaman pertama dengan ICE kurang baik. Separuh sesi, saya dijangkiti demam dan batuk. Doktor Pakar Goh Ai Sim memutuskan untuk menangguhkan kimoterapi ni dan pindahkan saya ke 'Isolation room'.

Oh.. Nampak menarik. Bilik seorang ada tv..tapi sayang air cond rosak. Tambahan ada renovation sebelah bilik. Tapi, dengan kondisi badan yang lemah sebab demam, batuk dan muntah semua tu tak memberi kesan apa apa.

Selepas 3hari demam kebah. Doktor teruskan dengan kimoterapi yang tertangguh. Sesi diteruskan dengan antibiotik IV Tienam. Selain IV Tienam doktor suntik Neupogen kerana sel darah putih turun dengan cepat. Tambahan Platlete. Huu.. Banyakkan? Alhamdulillah. Semua dapat dilalui dengan baik.

Pengalaman kimoterapi kali ini agak menggugat kekuatan. Seminggu selepas kimoterapi, rambut mula gugur. Alhamdulillah saya hadapi dengan tenang. Saya perasan suami agak terkejut. Tapi, dia cuba memberikan saya semangat. Ya, saya rasa semangatnya itu. Maka saya tidak bersedih dengan kekurangan ini.

Kakak Naqibah pula hadiahkan saya buku Zikir Penawar Kanser terbitan Telaga Biru. Bagus. Cuma ada beberapa yang tak dapat saya ikut. Takut salah faham dalam pengamalan. Saya ambil yang biasa dahulu.

Untuk Cycle 1 saya ditahan selama 18 hari. Lama kan? Rindu sungguh pada Insyirah. Dapat je keluar wad rasa nak peluk cium Doktor Goh tu. hehehe... Selepas seminggu akan masuk semula untuk Cycle 2 InsyaAllah.. Moga Allah permudahkan.

Disqus for Love Insyirah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...