Pages

Monday, July 8, 2013

Salam Ramadhan Kareem

Ramadhan Kareem. Kullu 'am wa antum bikhair..

Ya Allah, bagai tak percaya kita bakal bertemu lagi bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan.
Ya Allah, bagai tak percaya bahawa sudah setahun saya sakit.

Masih ingat lagi, tahun lepas saya hanya mampu berpuasa dua hari sahaja. Yang lain saya terlantar di Wad Kardiotorasik Hospital Sultanah Aminah tidak mampu untuk berpuasa. Tahun ini, nampaknya masih sama. Saya akan menyambutnya di Wad Hematologi Hospital Pulau Pinang. Walaupun sudah setahun diuji dengan sakit ini, saya hanya boleh kata Alhamdulillah, Alhamdulillah, Thumma Alhamdulillah. Allah masih beri kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadhan. Ya Allah, besar sungguh kuasaMu. 

Untuk kisah saya diawal sakit itu, bolehlah dibaca di Blog Suami. Alhamdulillah, berkat doa saudara dan sahabat semua, saya kuat hingga ke hari ini. Hospital dan saya memanglah tidak dapat dipisahkan. Namun saya hanya boleh kata Alhamdulillah, Alhamdulillah Thumma Alhamdulillah... Tiada apa lagi. Syukur atas ikmat yang Allah bagi hingga hari ini. Sakit yang masih ada ini biarlah jadi penghapus dosa-dosa saya disamping usaha saya berikhtiar melawan sakit.

Baru tadi saya tanya doktor berkaitan berpuasa untuk saya yang kebetulannya dijadual untuk kimoterapi hari ini. Doktor kata, untuk dua minggu selepas kimo tak boleh puasa kerana pada hari itu saya perlu minum banyak air.  Baiklah untuk tahun ini akan cuba dapatkan untuk berpuasa seberapa banyak hari yang mungkin. Kalau ikut doktor mungkin bolehlah dapat dalam 10 hari. Ya Allah, moga  kau mudahkan.

Buat mereka yang sakit, terutamnya sakit kronik, Allah sudah bagi kepada kita rukhsah dalam berpuasa.  Itu adalah tanda kasih sayang Allah pada kita. Jangan pula kita memberatkan hingga mengabaikan kesihatan.

Samalah dengan solat semasa sakit. Allah juga berikan rukhsah dalam solat untuk orang sakit. Untuk saya, masa inilah saya aplikasi ilmu-ilmu cara solat orang sakit masa belajar di sekolah dulu. Mana yang saya tak yakin saya akan tanya suami atau mana mana orang yang 'alim. Tak pandailah nak tulis pasal bab ni. Saya pun masih lagi belajar. Waalahu'alam.

Sempena Ramadhan ini saya, suami, Insyirah dan keluarga mohon ampun jika ada salah silap dari kami. Semoga kita semua menjalani ibadah puasa di bulan Ramdhan ini dengan penuh keberkatan dan rahmat Ilahi.

Ramadhan Kareem! Kullu 'am wa antum bikhair!



No comments:

Post a Comment