Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum semua.
Alhamdulillah. Ramai sahabat-sahabat saya yang baru berkahwin dan sedang mengandung. Almaklumlah, kita ni anak dah 4 tahun. Bila dengar kawan-kawan mengandung, excited rasanya. Lepas tu, ramai pulak yang tanya kita macam-macam perihal mengandung ni.Jadinya, saya fikirkan lebih baik saya tuliskan info-info mengandung, berpantang dan menyusu ni untuk rujukan sahabat-sahabat semua.
Hari ni, saya kongsikan persediaan buat sahabat-sahabat yang merancang untuk mengandung.
1. Rancangkan rawatan antenatal (follow-up mengandung) dari awal.
Penjagaan kehamilan dari awal adalah penting untuk perkembangan kesihatan bayi dan juga ibu. Emosi bayi bergantung pada emosi ibu. Masa ni kena pilih nak buat follow up di Klinik Kesihatan atau di mana. Kalau pilih Klinik dan Hospital Swasta, dah boleh tanya-tanya Doktor yang berkenan di hati.
Saya selesa Klinik Kesihatan (KK). Sebab ada pengalaman tak seronok di Klinik Swasta. Insyirah adalah kandungan kedua saya. Saya pernah keguguran. Jadinya, saya sangat cerewet pilih Klinik. Lagi satu, saya berpendapat, Klinik Kesihatan lebih banyak pengalaman. Lagipun, masa mengandung dulu, saya ada masalah HB rendah yang agak teruk.
Apa pun, pasangan ibu & ayah pilihlah yang terbaik.
2. Makan dengan baik
Tiada istilah "makan untuk dua orang" semasa mengandung. Keperluan tenaga tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan, dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan yang terakhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).
Tapi, sangat penting untuk ambil diet yang seimbang. Pastikan cukup sayur, buah, karbohidrat, serat dan protein.
Ramai ibu, terlalu melayan perasaan mabuk dan mengidam. Mengidam perlu dikawal ye. Kalau setiap hari mengidam makan manis-manis, sangat sangat perlu dikawal. Takut-takut kencing manis yang datang.
3. Berhati-hati tentang kebersihan makanan
Antara jangkitan yang selalu dihidapi ibu mengandung seperti Salmonella dan Toxoplasmosis. Jangkitan salmonella boleh berlaku disebabkan memakan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau yang separa masak.
Untuk mengelakkan toxoplasmosis, yang sebenarnya jarang berlaku, namun boleh menjejaskan bayi dalam kandungan secara serius, ia adalah penting untuk memakai sarung tangan apabila mengendalikan pasir kumbahan kucing dan tanah tanaman.
4. Mengambil tambahan folik asid dan memakan ikan
Tambahan diet yang dianggap benar-benar penting ialah folik asid (juga dikenali sebagai folat), yang boleh membantu mencegah spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural bayi.
Spina bifida adalah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk. Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian folik asid 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.
Anda juga boleh meningkatkan pengambilan folat semulajadi melalui pemakanan anda. Folat didapati dalam banyak makanan yang berbeza, terutama sayur-sayuran dan bijirin sarapan yang diperkuatkan dengan vitamin. Lain-lain nutrien yang penting untuk kesihatan anda dan bayi anda adalah besi dan kalsium, yang pada umumnya diperolehi melalui pemakanan biasa anda.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa minyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3, mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap praeklampsia, berat kelahiran bayi dan perkembangan otak dan saraf bayi di peringkat akhir kehamilan.
Ikan berminyak mengandungi protein, mineral, vitamin D dan asid lemak omega-3, yang bayi anda perlukan semasa dia membesar dan berkembang, tetapi ia juga mengandungi merkuri dan bahan pencemar lain. Syor semasa ialah supaya memakan ikan berminyak seperti hering, tenggiri, salmon atau sardin tidak lebih dari dua kali seminggu, tetapi anda masih boleh memakan jenis ikan lain seberapa banyak yang anda suka.
Jika anda tidak suka ikan, tambahan minyak ikan senang diperolehi (pilih jenama yang bebas Vitamin A berbentuk retinol, yang tidak digalakkan semasa kehamilan).
5. Bersenam selalu
Tradisi banyak mengatakan, ibu mengandung perlu banyak berehat. Berehat bukan bermaksud duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Ibu mengandung masih boleh melakukan senaman yang sesuai untuk ibu mengandung. Berhubung dengan mereka yang bertauliah.
Senaman yang betul membantu anda membina ketahanan untuk menampung berat bdan yang bertambah. Senaman juga membantu anda lebih ceria semasa mengandung.
Jika anda biasa menjalankan senaman dalam bentuk sejenis sukan, anda boleh teruskan sahaja selagi ia selesa untuk anda, melainkan jika sukan itu membawa risiko jatuh atau terhantuk. Senaman lebih ringan seperti berjalan, berenang dan aerobik air juga sangat bermanfaat.
6. Mula lakukan senaman lantai pelvik
Adalah agak biasa bagi wanita yang mengandung atau yang telah melahirkan anak untuk mengalami masalah tekanan inkontinens; apabila sedikit air kencing bocor akibat aktiviti tertentu, termasuk bersin, ketawa dan senaman. Anda boleh membantu mengelakkan perkara ini daripada berlaku dengan melakukan senaman lantai pelvik, dan mulakanlah ini sebelum hamil atau semasa mengandung.
Otot lantai pelvik adalah gantungan otot di dasar pelvis anda yang menyokong pundi kencing, vagina dan rektum. Ianya boleh terasa lemah daripada biasa semasa hamil sebab tekanan tambahan ke atasnya, dan sebab hormon kehamilan menyebabkannya mengendur sedikit.
Lantai pelvik anda boleh dikencang dan diperkuatkan dengan program latihan harian. Cadangan semasa mengesyorkan anda melakukan senaman lantai pelvik tiga kali sehari, sebanyak lapan kontraksi setiap kali. Baca artikel kami mengenai senaman lantai pelvik semasa mengandung untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk melakukannya dengan betul.
7. Hadkan pengambilan alkohol
Sebab sebarang alkohol yang anda minum akan sampai kepada bayi anda dengan cepat melalui aliran darah anda dan plasenta.
Wanita yang banyak minum secara kerap (lebih daripada enam unit sehari) semasa mengandung dianggap berisiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi dengan gangguan spektrum alkohol janin (Fetal Alcohol Syndrome), yang menyebabkan pelbagai masalah dari masalah pembelajaran kepada kepada masalah kecacatan kelahiran yang lebih serius.
8. Kurangkan pengambilan kafein
Kopi, teh dan minuman jenis cola adalah perangsang yang sederhana, dan walaupun bukti penyelidikan belum lagi jelas, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko mendapat bayi mempunyai berat badan lahir rendah, atau meningkatkan risiko keguguran.
Nasihat semasa mencadangkan bahawa dua cawan kopi (bersamaan empat cawan teh atau lima tin cola) sehari tidak akan menjejaskan bayi anda, walaupun satu kajian menunjukkan bahawa tahap kafein yang rendah masih boleh meningkatkan risiko keguguran.
Sama seperti alkohol, di mana lebih baik jika lebih berhati-hati, anda juga mungkin boleh memilih untuk mengurangkan pengambilan kafein secara signifikan, atau, sebaliknya, beralih kepada kopi tanpa kafein, teh, atau jus buah-buahan, terutamanya semasa trimester yang pertama. Alternatif yang segar ialah segelas air dengan perahan sehiris limau atau lemon.
9. Berhenti merokok
Wanita yang merokok meningkatkan risiko keguguran, bersalin pramatang, kelahiran mati dan kematian.
Merokok pada trimester pertama juga meningkatkan sedikit risiko melahirkan anak dengan bibir atau lelangit rekah.
Walaupun masa paling baik untuk berhenti merokok ialah sebelum anda merancang untuk hamil, namun begitu, apa jua pengurangan dalam bilangan rokok yang anda hisap setiap hari semasa hamil akan memberikan bayi anda peluang yang lebih baik. (Baca nasihat lanjut mengenai bagaimana untuk berhenti merokok semasa kehamilan.)
10. Lebihkan berehat
Keletihan yang anda rasakan di trimester pertama dan ketiga sebenarnya adalah cara badan anda memberitahu anda supaya "jangan terlalu aktif". Mungkin tidur di tengah hari terasa seperti perbuatan manja yang anda tidak mampu lakukan, tetapi anda dan bayi anda akan memdapat manfaat darinya. Jika anda tidak boleh tidur, sekurang-kurangnya letakkan kaki ke atas dan berehatlah secara apapun yang sesuai dengan keperluan anda selama 30 minit atau lebih,.
Jika sakit belakang mengganggu tidur anda, cuba urutan (beritahu ahli terapi yang anda hamil atau cari lahhh bidan yang berpengalaman dalam membantu wanita hamil), kelas natal air, atau kelas senaman khusus untuk penjagaan belakang. Senaman dan aktiviti relaks juga boleh membantu dengan masalah tidur yang berkaitan dengan stres. Cuba teknik relaks, yang selamat semasa mengandung, termasuk regangan dan pernafasan dalam. Jangan lupa memberitahu pelatih yang mengendalikan kelas senaman dan relaks itu yang anda sedang hamil atau pilihlah kelas khusus untuk wanita hamil.
Pages
▼
No comments:
Post a Comment