Belajar sambil mencabar
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin
Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar - Prof. Ungku A. Aziz (1973)
Senario mahasiswa kini adalah mahasiswa yang hanya mewajibkan diri mereka merempuh pintu-pintu dewan kuliah dan merempuh bas-bas awam untuk pulang semua ke kolej kediaman bagi menghilangkan lelah setelah seharian berhempas pulas menuntut ilmu. Pada amatan saya sendiri, perkara ini akan menjadi habit pada mahasiswa apabila mereka bergelar graduan universiti satu hari nanti. Habit ini juga akan terbawa-bawa sehinggalah mereka bekerja. Mereka akan meneruskan rutin merempuh kesesakan lalulintas diawal pagi, dan merempuh semula kesesakan yang sama untuk pulang kerumah.
Semua situasi ini tak jauh bezanya dengan kehidupan di alam kampus. Cuma mungkin sedikit berbeza dari sudut peranan, dahulu sebagai mahasiswa tapi kini, sebagai seorang pekerja. Dahulu bersesak berebutkan bas untuk ke dewan kuliah, tetapi kini, bersesak-sesak untuk ke tempat kerja. Satu senario yang andai dibiarkan akan menghasilkan warga Malaysia yang mempunyai penyakit 'tak pedulisme'. Dewasa ini juga kita lihat, penyakit ini seakan membarah dalam diri warga Malaysia. Sebagai contoh, apabila harga minyak meningkat, berapa ramai yang bangkit bersuara meminta jawapan?? Ramainya sekadar menjadi 'pak turut' dan 'tukang angguk' untuk apa yang berlaku. Apabila Pak Lah menukar jawatan dengan Najib juga rakyat Malaysia bagai tidak punya apa-apa perasaan. Yang mereka fikirkan adalah perjuangan mencari sesuap rezeki utk meneruskan hidup di bumi mencabar ini.
Oleh itu, apakah kita sebagai mahasiswa akan terus berdiam diri??Akan meneruskan rutin harian kita??Dunia luar sana, masih ramai sedang menanti munculnya generasi-generasi perubah yang mengubati penyakit negara. Generasi yang cakna dengan kehidupan mereka, juga generasi yang bakal membawa sinar baru dalam kehidupan mereka.
Mahasiswa harus sedar peranan mereka di kampus bukan sahaja terikat dengan pergi kuliah, tutorial dan perpustakaan semata-mata. Mahasiswa punya satu tugas berat yang tergalas dibahu mereka. Bagi yang muslim, tentu sahaja semua sedar tanggungjawab itu.
Tugas sebagai ‘Abdi ( Az-Zariyat : 56)
Tugas sebagai Da’ie ( Ali – Imran : 110)
Tugas sebagai Khalifah ( Al – Baqarah : 30)
Kesemua tuntutan di atas memerlukan kita sebagai mahasiswa menjadi golongan yang aktif dan punya jati diri yang utuh. Kita tidak boleh menjadi seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Menerima arahan tanpa mengetahui kerasionalannya. Akibatnya, akan lahirlah golongan-golongan yang sekadar mengangguk dan mengiyakan segala tindak tanduk pemimpin. Bukan mengajar mahasiswa untuk menjadi golongan penentang. Sekadar mengajak mahasiswa juga mengingatkan diri sendiri yang juga bergelar mahasiswa supaya berani bersuara dan menyatakan pendapat dalam segala hal.
Mahasiswa juga perlu menyiapkan diri untuk menempuh kehidupan diluar sana. Keputusan cemerlang bukanlah jaminan anda mampu mentadbir negara ini.Dalam satu kata-kata Almarhum bapak Mohammad Natsir, bahawa
“pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat”.
Duhai MAHASISWA mari kita khabarkan
Di tangan kita tergenggam arah ummah
Duhai MAHASISWA mari kita laksanakan
Satu agenda pembaharuan
No comments:
Post a Comment