Monday, December 30, 2013

Saya Akan Jalani Rawatan Radioterapi

Bangun pagi tadi teringat kisah semalam. Apa kisah semalam? Buat mereka yang baca FB/blog suami pastu tahu kisah saya semalam. 

Semalam keputusan Pet Scan dah keluar. Alhamdulillah. Hasilnya positif. Barah Hodgkin Lymphoma saya tinggal 1.7cm x 2.2cm. Sangat-sangat kecil untuk dibandingkan dengan awal saya dikesan barah Hodgkin Lymphoma tahap 4. Dulu saiznya 11cm x 12cm. 

Bermula dengan 6 kitaran kimoterapi regim ABVD iaitu bersamaan 12 kali dan 2 kali regim ICE. Keputusan Pet Scan Ogos 2013 menunjukkab sel kanser sebesar 3cm x 4cm di dua tempat masih wujud dan aktif. 

Keputusan Pet Scan terbaru selepas rawatan Transplan menunjukkan saiz twlah mengecil kepada 1.7cm x 2.2cm hanya pada satu tempat. Sel di tempat satu lagi sudah hilang dan negatif kanser. 


Doktor Pakar Hematology,  Dr. Goh Ai Sim telah membuat temujanji rawatan radioterapi sebanyak 15 sinaran pada bulan hadapan. 

Penutup akhir 2013 saya dengan keputusan Pet Scan. Pembuka tahun 2014 saya pula dengan rawatan radioterapi. 

P/s: Kawan saya kata, " Sakit datangnya macam ribut, perginya macam semut. Biarlah perlahan macam semut, yang penting sakit itu tetap berjalan pergi." 

Thursday, December 26, 2013

Homeschooling : Tips Ajar Anak Kecil Solat

Kesibukan bulan ini banyak aktiviti homeschooling Insyirah tergendala. Tapi saya sentiasa cakap pada diri kalau tak banyak, sikit pun jadilah. Jadi saya fokus untuk perkara yang kami boleh lakukan bersama-sama. Solat!

Semasa Blogwalking tips mengajar anak solat, saya jumpa banyak blog yang berkongsi tips ini. Kebanyakan menulis mengikut tahap umur 0-7 tahun. Saya akan fokus 0-2 tahun kerana Insyirah masih di fasa ini.

Saya kongsikan cara saya untuk melatih Insyirah solat. 

1. Berdoa

Kalau boleh, berdoa bersama-sama dia. Biar anak dengar doa kita. Kalau saya setiap masa. 

Contoh bila tengah sayang-sayang saya cakap, "Insyirah anak solehah, dengar cakap ibu ayah, rajin solat, bla bla bla." Itu cara sayalah, dan semestinya setiap waktu mustajab berdoa. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :


(Surah Ibrahim:40)

2. Membiasakan anak-anak dengan solat

Ini dibahagikan mengikut peringkat usia.

Umur 0-2 tahun

Letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat

Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar" 

Saya banyak tertinggal fasa ini kerana pada waktu ini saya banyak menghabiskan masa di dalam wad.

Ibu ayah juga boleh belajar ilmu solat sambil mendukung anak.  

Umur 2-4 tahun

Selalu mengajak mereka untuk solat bersama

Mungkin ada ibu bapa baru bermula merasakan agak sukar mengajak mereka. Cara saya, saya pujuk Insyirah berwudhuk dahulu. Fitrah anak kecil sukakan air. Saya ambil peluang menunjukkan padanya rukun wudhuk.

Tips penting untuk ibu ayah. Jangan memarahi anak-anak jika dia mengganggu kita dengan menarik sejadah atau memanjat ke atas kita. Ini boleh dirujuk kisah yang masyhur, kisah Saidina Hassan dan Hussin yang duduk di pundak Rasulullah hingga memaksa baginda sujud lebih lama. 

Adalah perkara biasa Insyirah solat dihadapan saya walaupun sudah disediakan sejadah kecil untuknya.

Perkara biasa dia duduk atas saya semasa duduk tasyhud.

Perkara biasa tarik tali telekung ketika sujud dan duduk.

Saya tidak terus memarahi dia. Usai solat saya pegang kepalanya dan cakap,
"Kalau ibu solat tak boleh kacau kan?"
Peluk, cium dan berdoa bersama-sama dia. Doa dalam bahasa Melayu supaya dia faham.

Mungkin ada yang mengatakan saya boleh melakukannya kerana saya seorang surirumah. Sebenarnya saya sendiri terlambat mendidik Insyirah. Sahabat-sahabat saya yang bekerjaya lebih awal mendidik anak mereka solat. Di sini tidak timbul cepat atau lambat. Apa yang penting kemahuan dan usaha kita mendorong anak-anak kita bersolat. Untuk mengetahui tips penuh boleh ke sini.

Masa ini dia menghadap saya yang sedang mengaji. Dapat tangkap perbuatannya yang lucu tu.

Dua situasi. Insyirah pakai telekung besar sebab telekungnya tertinggal dikampung.

Insyirah solat dengan  kakak-kakak. Sebenarnya mereka sepupu saya a.k.a makcik Insyirah. Hihihi


P/s: saya perasan lebih mudah mengajak Insyirah solat bersama kakak-kakak itu.

Sunday, December 22, 2013

2014: Work at Home Mom, WAHM impian jadi kenyataan.

Mengakhiri 2013 ini dengan penuh cabaran membuat saya bagaikan tidak terasa 2014 bakal menjengah tak kurang dua minggu lagi. 

Seperti yang pernah ditulis oleh suami di sini.Saya mahu menjadi WAHM (Work at Home Mom). Impian itu memang telah lama saya simpan. Ujian yang Allah beri tidak pernah memadamkan impian ini.

Apabila ditanya oleh suami tentang perancangan tahun hadapan, saya kata, "saya fokus dengan INN House of Fashion dan juga Shaklee. 2015 pula saya mahu buka tadika ABS.". 

Siapa sangka Allah sudah nampakkan kami jalan impian 2015 itu. Alhamdulillah. 

Gambar dari FB Puan Zuraida Noordin. (Ketua ABS Chapter Utara).

P/s: "Ya Allah, mudahkan urusan kami. Murahkan rezeki kami"

Wednesday, December 18, 2013

Jurnal Cuti-Cuti Disember

Hari ini Pet Scan untuk Post Transplan. Saya rasa Disember adalah bulan yang sibuk dan padat. Sekarang pun menulis di celah-celah masa menunggu keputusan darah.(Tapi saya baru sempat post sebab semalam di makmal tak ada line )


Bermula 1/12/13 walimatulurus adik ipar. Barakallah Kak Cik dan Hazwan.Selamat menempuh alam rumah tangga.


Barakallah Kak Cik n Wan. Semoga rumahtangga yang dibina mawaddah wa rahmah.

3/12/13 naik flight Airasia ke Kuala Lumpur bersama adik dan Insyirah. Pengalaman ngeri hampir tertinggal flight. Turun gate betul-betul pintu kapal pun nak tutup. T_T

Tapi lupa semua mimpi ngeri bila malam dapat jumpa Derek Gehl. What!!! Kebetulan yang membawa Keterujaan! !! Tapi bila habis kena cepat-cepat balik. Tak ada kenangan dengan dia. Siapa pulak pak cik Derek Gehl ni? Dia sifu kepada sifu saya dalam dunia Perniagaan Internet ni. Kak Maria Hasnida Adam. Lepas tu tertidur keletihan. Sedar-sedar pokok kelapa sawit kat sebelah kereta Mimam. What!!! Kelapa sawit? Penat travel hari ni...terkejar-kejar dan asyik teruja je. Hihihi. ...Rumah Wak Noor ni dah macam Villa dalan hutan. Dikelilingi pokok-pokok yang banyak tiba tiba ada rumah dia. Hihihi. 


Kami berempat dalam KLIA express train. Jalan jem. Mimam parking kat Putrajaya. 

5/12/13 Bertolak dari KLIA ke Kuala Terengganu dengan MAS. Alhamdulillah berjalan lancar walaupun mak dan Mumtazah hampir jatuh di escalator yg lurus kat KLIA tu. My fault pi tolak kerusi roda Mumtazah kat situ T_T
Malamnya Mimam dan Bik Bella pula sampai. What a great holiday! Even tak cukup sebab family Abang Fairuz dan family Kak Balqis tak ada. Yang penting Mimam seronok jumpa Insyirah. Insyirah kan kesayangan Mimam... Ibu yang perasan.  Sementara baby belum keluar silalah pow Mimam banyak- banyak ye Insyirah. Hihihi....

Stay kat Terengganu hingga 9/12/13. Apa yang best kat Terengganu??Nanti saya cerita kat entri lain k. Hihihi.  
Jalan-jalan Kuala Terengganu. Kalau suruh tulis satu-satu banyak benda boleh tulis ni. Hihihi

9/12/13 dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. 

10/12/13 - 14/12/13 duduk di kampung Muar johor. 


Insyirah kat kampung. Dia seronok sangat. Macam-macam ada. Huhuhu

14/14/13 dari Kuala Lumpur ke Penang. Sekali lagi hampir tertinggal flight. Sampai luggage semua tinggal sebab tak sempat drop luggage. Nasib dah check in. Huhuhu. Kali ini paling penat sebab dari gate ke flight di LCCT kan agak jauh. Insyirah pulak nak dukung.  
Kat dalam flight Insyirah tidur kepenatan. Saya pula tak mampu tidur sebab sangat penat. Tengoklah gambar bawah tu kat kedai makan. Dia tak larat pun nak bangun makan. 

Hari ini (17/12/13) saya di Hospital Pulau Pinang untuk Day Care dan Pet Scan. 

22/12/13 walimatulurus Wani kawan kampus dan pasangan di Kepala Batas.

27-29/12/13 mungkin akan pulang ke Muar sebab my big bro akan further study kat Australia. T_T

30/12/13 keputusan Pet Scan.Sibuk kan? Rasanya kalau buat entri satu-satu memori jurnal Disember meriah blog i. Hihihi. 

P/s: hutang bertambah.  Cerita transplan dan jurnal cuti-cuti Disember. Aiyoo.. huhuhu

Monday, November 25, 2013

Homeschooling : Homemade Playdough

Lama tak update lepas transplan. Artikel berkaitan transplan pun masih menjadi hutang yang tertunggak. Hehehe. Tiba-tiba menulis berkaitan homschooling. Sebenarnya homeschooling ni dah lama saya fikirkan untuk Insyirah. Kesempatan dalam wad saya gunakan untuk membaca berkaitan homeschooling hinggalah terjumpa Blog Mamahomeschool ni. Hebat mama ni. Dia ajar semua anak dia di rumah. Tak hantar ke tadika. Memandangkan saya tak bekerja bolehlah kiranya saya ambil masa setahun untuk ajar Insyirah sikit-sikit di rumah. Kami masih memilih untuk hantar Insyirah ke mana-mana tadika/playgroup/payschool untuk dia belajar bersosial dengan rakan sebaya. 

Idea untuk buat playdough ni datang bila Mak Long Insyirah terbeli playdough yg keras. Kesian budak-budak ni  nak main. Kebetulan esoknya saya keluar terus beli cream of tartar. Resepi saya ambil di Blog Mamahomeschool

Tak apa saya letak di sini juga. 

RESEPI PLAYDOUGH
2 cawan gandum
2 cawan air
1 cawan garam
1 sudu besar minyak
2 1/2 sudu teh cream tar-tar
pewarna makanan

Cara membuatnya: 
Campurkan semua bahan kemudian panaskan atas api. Kacau sampai ia jadi sprt mash potato. Lepas tu bolehlah dibahagikan utk diletakkan pewarna. Uli sampai jadi doh.
  

2 cawan tepung tu dapat sebanyak ni. Saya rasa kalau anak sorang tu cuba ubah resepi kepada 1cawan tepung sahaja.

 Khusyuk mereka bermain. 




 Insyirah dah mula melenyek-lenyek playdough tu.

 Tengok Insyirah dah sampai kemuncak. Dia letak atas lantai dan pijak-pijak.. Sangat kreatif.

Sebenarna banyak pelajaran semasa main playdough ni. Kita boleh ajar bentuk, warna, saiz, nombor, abjad, huruf hijaiyyah. Tapi saya pun tak buat sebab masa ni saya sibuk dengan persiapan perkahwinan adik ipar. 


p/s: azam kami nak homeschooling Insyirah untuk tahun depan. amin... InsyaAllah.

Thursday, October 31, 2013

Manusia Yang Kadang-Kadang Itu

Kadang-kadang kita rasa terlalu sibuk sampai rasa tak cukup masa.
Kadang-kadang kita rasa terlalu banyak nak kata sampai tak tercakap isi hati sebenarnya.
Kadang-kadang kita rasa terlalu banyak perkara nak dibuat sampai tak terbuat semuanya.
Dann.....
Kadang-kadang kita rasa terlalu  banyak nak ditulis dalam blog ni sampai tak tertulis pun...

Friday, September 6, 2013

Apakah nilaiku dalam agama?

Syawal yang lalu, di sapa oleh seseorang di kampung. Masih ingat lagi ayatnya.

"Sedih sangat bila dengar Hajjar sakit. Ya Allah, dah lah faham agama, faham perjuangan. Nanti dah kurang orang buat kerja agama."
Zasss! Macam dipenggal rasanya. Tersentak seketika. Apa sangatlah kerja agama yang aku buat ni? Allah.
Hingga hari ini masih terpukul dengan kata-kata tu. Iya, sejak balik ke Pulau Pinang setahun yang lalu, saya masih mencari di ruang manakah yang boleh saya menumpang. Di ranting manakah boleh saya berpaut. Tak cukup sekadar Pakaq seorang. Atau tak cukup dengan saya tolongjaga Insyirah untuk memudahkan Pakaq bergerak. Hati memberontak. Apakan daya, kadang-kadang rutin rawatan membuatkan saya tangguh seketika. Sudahlah takutbawa kereta. Sangat terbatas.  Iya dia sangat laju. Saya bagai sang kura-kura. Haih... Mujur sahaja dalam dia berlari dia hulurkan ranting agar saya bisa dibawa bersama.

Terpukul pula dengan status facebook Shie. Allah, lambatnya kau bergerak Hajjar. YaAllah, kau berikan kesihatan padaku ya Allah. Sembuhkan aku ya Allah. Agar aku dapat berjuang dijalanMu ya Allah. Mudahkanlah urusanku ya Allah.

Thursday, July 25, 2013

Hari Sedih

Hari ke lima dalam wad. Hah? Dalam wad? Ya...saya dalam wad.. Result darah masa hari Isnin tak berapa elok. platlet drop to 8. WBC drop to 1.1. Dah 2 beg platlet. Dah 4 hari cucuk Neupogen. Hari ni reading platlet 8. WBC 0.4..Ni air mata nak keluar ni.. Ya Allah.. Kenapa teruk sangat kali ni. Allah...

Allah..Allah.. Risau sebab tiket flight dah beli 1hb ni. Hari ni 26hb dah.. Tak tenang duduk kat wad.. Rasa nak suruh doktor tu masukkan double dos untuk platlet and Neupogen tu. Ok. Hari ni sedih. Sedih. Sedih.

" Ya Allah. Permudahkanlah urusanku"

Thursday, July 18, 2013

Syukur hamba padaMu Tuhan

“..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Alhamdulillah...Alhamdulillah...thumma Alhamdulillah. Masuk hari kedua saya dapat berpuasa tahun ini. Alhamdulillah... Hari ini termenung sendiri, mengenangkan tahun lepas disaat ini saya sedang terbaring. Sungguh tiada daya. Allah..hanya Allah yang tahu

Alhamdulillah, Atas kurniaNya jua. Alhamdulillah Allah beri kesempatan untuk bertemu Ramadhan. Allahuakbar. Syukur ya Allah atas nikmat sihat ini (walaupun belum 100% sihat). Banyak, banyak hikmah Allah semasa sakit. Ramadhan tahun lalu saya habiskan di Hospital Sultanah Aminah. Tidak dapat berpuasa. Tahun ini, walaupun masih dalam rawatan kimoterapi. Alhamdulillah Allah bagi kekuatan untuk berpuasa. Harapnya dapat menunaikan ibadah ini sehabis baiknya.

Saya tak pandai menulis. Cuma tulisan ini untuk insan-insan yang banyak mendoakan saya. Mereka-mereka yang datang ziarah saya semasa sakit. Hanya Allah yang balas doa dan sumbangan kalian. Hikmah silaturrahim itu saya rasakan masa saya sakit. Alhamdulillah..Allah sayangkan saya. DihantarSnya insan-insan berhati mulia bersama saya. Yang ziarah memberi semangat, telefon, sumbangan, dan doa yang tidak putus-putus. Semua itu kekuatan saya. Alhamdulillah... Alhamdulillah..Alhamdulillah... 

Hari ini hari kedua saya berpuasa. Seperti mana terjemahan dari ayat yang diatas tu. Allah beri kita rukhsah dalam puasa jika kita sakit atau musafir. Dalam hal saya, saya tak berpuasa kerana hari pertama berpuasa tu saya kena kimoterapi dan seterusnya perlu makan ubat untuk kanser itu mengikut jadual. Jadinya adalah dinasihatkan untuk orang sakit berbincang dengan doktor anda. Macam saya, saya tanya doktor bilakah masa yang sesuai untuk saya berpuasa. Doktor kata bila ubat dah habis dan badan rasa kuat bolehlah berpuasa. Alhamdulillah, dapatlah semalam berpuasa. Yang lapan hari lepas tu kenalah saya ganti berlahan-lahan. Semoga Allah mudahkan sebab lepas ni saya masih perlu rawatan kimoterapi.

P/s: Perancangan terbaru doktor adalah 15/8 GDP 2nd cycle dan pertengahan September Transplan. Berdebar untuk transplan. Akan duduk di wad selama sebulan. Insyirah. Ya saya sedang fikirkan dia. Sebulan penuh duduk di wad dan tidak boleh menerima pelawat. Moga Allah ilhamkan cara terbaik utnuk tenangkan Insyirah. 


Friday, July 12, 2013

Pemasangan Chemoport

Ingat tak saya ada kata tentang chemoprt. Ini serba sedikit tentang chemoport yang saya baca dari wikipidea. Bolehlah untuk jadikan pengetahuan am untuk hari ini bagi mereka yang baru mendengar tentang chemoport.

"In medicine, a port (or portacath) is a small medical appliance that is installed beneath the skin. A catheter connects the port to a vein. Under the skin, the port has a septum through which drugs can be injected and blood samples can be drawn many times, usually with less discomfort for the patient than a more typical "needle stick".
Ports are used mostly to treat hematology and oncology patients, but recently ports have been adapted also for hemodialysis patients.
The port is usually inserted in the upper chest, just below the clavicle or collar bone, leaving the patient's hands free." Sumber wikipidea.

Sepatutnya saya kena buat chemoport ni sejak kimoterapi pertama lagi. Tapi, entahlah kenapa tak buat. Mungkin masa tu saya takut sangat kena infection. Kesannya sekarang ni vein saya sangat susah nak cari. Kaau nak masuk branulla tu adalah 3-4 kalai cucuk baru jumpa. T_T

Yang ni gambar dari pakcik google... Lebih kurang gitulah rupanya port tu dalam badan. nanti jarum tu cucuk je kat tempat bonjol tu bial nak kimo. Saya belum pakai lagi sbb baru sangat..

Masa pasang Chemoport ni kenalah dibius setempat dan dibagilah ubat tidur.. tapi, mata ni tak nk tidur pulak. adalah rasa sikit-sikit macam kena gigit kerengga. 

Apa pun sekarang ni saya dah tukar regime kimo. Dah tukar kepaa Kimoterapi GDP. Hurm.. dah kena tulis pasal GDP pulak kan? Nanti saya cerita k...

Ok..sampai sini dulu ya.. nanti kita sambung eh...


Monday, July 8, 2013

Salam Ramadhan Kareem

Ramadhan Kareem. Kullu 'am wa antum bikhair..

Ya Allah, bagai tak percaya kita bakal bertemu lagi bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan.
Ya Allah, bagai tak percaya bahawa sudah setahun saya sakit.

Masih ingat lagi, tahun lepas saya hanya mampu berpuasa dua hari sahaja. Yang lain saya terlantar di Wad Kardiotorasik Hospital Sultanah Aminah tidak mampu untuk berpuasa. Tahun ini, nampaknya masih sama. Saya akan menyambutnya di Wad Hematologi Hospital Pulau Pinang. Walaupun sudah setahun diuji dengan sakit ini, saya hanya boleh kata Alhamdulillah, Alhamdulillah, Thumma Alhamdulillah. Allah masih beri kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadhan. Ya Allah, besar sungguh kuasaMu. 

Untuk kisah saya diawal sakit itu, bolehlah dibaca di Blog Suami. Alhamdulillah, berkat doa saudara dan sahabat semua, saya kuat hingga ke hari ini. Hospital dan saya memanglah tidak dapat dipisahkan. Namun saya hanya boleh kata Alhamdulillah, Alhamdulillah Thumma Alhamdulillah... Tiada apa lagi. Syukur atas ikmat yang Allah bagi hingga hari ini. Sakit yang masih ada ini biarlah jadi penghapus dosa-dosa saya disamping usaha saya berikhtiar melawan sakit.

Baru tadi saya tanya doktor berkaitan berpuasa untuk saya yang kebetulannya dijadual untuk kimoterapi hari ini. Doktor kata, untuk dua minggu selepas kimo tak boleh puasa kerana pada hari itu saya perlu minum banyak air.  Baiklah untuk tahun ini akan cuba dapatkan untuk berpuasa seberapa banyak hari yang mungkin. Kalau ikut doktor mungkin bolehlah dapat dalam 10 hari. Ya Allah, moga  kau mudahkan.

Buat mereka yang sakit, terutamnya sakit kronik, Allah sudah bagi kepada kita rukhsah dalam berpuasa.  Itu adalah tanda kasih sayang Allah pada kita. Jangan pula kita memberatkan hingga mengabaikan kesihatan.

Samalah dengan solat semasa sakit. Allah juga berikan rukhsah dalam solat untuk orang sakit. Untuk saya, masa inilah saya aplikasi ilmu-ilmu cara solat orang sakit masa belajar di sekolah dulu. Mana yang saya tak yakin saya akan tanya suami atau mana mana orang yang 'alim. Tak pandailah nak tulis pasal bab ni. Saya pun masih lagi belajar. Waalahu'alam.

Sempena Ramadhan ini saya, suami, Insyirah dan keluarga mohon ampun jika ada salah silap dari kami. Semoga kita semua menjalani ibadah puasa di bulan Ramdhan ini dengan penuh keberkatan dan rahmat Ilahi.

Ramadhan Kareem! Kullu 'am wa antum bikhair!



Tuesday, July 2, 2013

Jalan-Jalan Bukit Bendera

Yang ni cerita Ahad lepas.. Tiba-tiba Subuh suami ajak jalan-jalan. Bukit Bendera? Nama sahaja duk di Penang. Tak pernah pun pergi bersama-sama apatah lagi lepas kahwin. Masing-masing pernah pergi masa zaman belajar dulu. Dah tak hairan kot.. huhuhu...

Tapi, bila ada anak ni kadang-kadang teringin nak bawak anak jalan-jalan kan.. Lagi pun saya ni kan kerjanya keluar masuk wad. Kesian pula dengan Insyirah ni.  Memang ada rancangan nak bercuti, tapi kena tahan dulu. Jadual masuk wad tak menentu lagi. Tunggu semuanya stabil. Kewangan pun perlu stabil. Jadinya pergilah yang dekat-dekat ni dulu.

Tengok budak baik ni... Baik sangat. Langsung tak meragam kena kejut pagi pagi.
Sangat bekerjasama. Alhamdulillah.. 

Dalam kerta kabel. Bulatnya mata kamu nak...

Seronok tengok dia gembira. Keluar-keluar kerta kabel terus berlarian. Kebetulannya masih pagi lagi. Dalam pukul 9 macam tu. cuaca pun subhanallah..cantik sangat. Orang pun belum ramai lagi..


Cara Insyirah ucap terima kasih pada ayah dia.. 


Alhamdulillah..balik tu saya ajak singgah Jusco kejap. Niatnya nak bagi Insyirah sambung main lagi. Tapi, tersangkut pula dalam kedai buku Popular. Hehehe.belikan Insyirah buku kosong untuk dia conteng conteng sambil bebel bebel kat dia dalam kedai tu. semua dia nak ambil.

Ha..nak cerita ni.. Punya kuatlah pengaruh si Mail pada Insyirah ni.. Masuk-masuk kedai buku yang bising tu tiba-tiba dia menjerit..

"Dua singgit! Dua singgit!"
"Mari beli! Mari beli!"

Mungkin dia beranggapan itu pasar malam nak jual ayam goreng Mail. Untung saja suaranya kecik halus.. Kami berdua pandang-pandang.. Tahan gelak.. Hai anak... Nanti dah sekolah ibu bagi kamu belajar berniaga k. Potensi yang ibu tak akan halang. 

Balik berjalan, barulah saya rasa penatnya badan. Sengal-sengal seluruh badan. Suami dah ajak pergi hospital. Saya diam ja.. Alhamdulillah, lepas rehat ok dah badan. Mungkin selama ni cuma duduk saja kan. Terkejut badan tu tiba tiba berjalan sakan. 

Alhamdulillah hujung minggu yang ceria. Insyirah happy, ayah ibu pun happy sangat! Minggu ni masuk wad macam biasa. Moga Allah mudahkan untuk pemasangan Chemoport. Amin..




Thursday, June 27, 2013

Kimoterapi GDP pula?

Selepas berjaya dengan Stem Cell Collection di Ampang. My Hodgkin Lymphoma Journey ni akan diteruskan di Penang. Harapan dan doa saya agar ianya berakhir dengan segera. Beakhir dengan jayanya. Amin..

Mengikut jadual sepatutnya saya admit wad di Pulau Pinang 19/6..tapi oleh kerana alasan-alasan yang saya dah tulis pada entry sebelum ni saya msuk wad 25/6.. Nak dijadikan ceritanya..meh la sini nak cerita.

Pagi-pagi selepas subuh keluar rumah. Sempat sarapan kat Medan Selera Taman Tun Sardon. Tempat kenangan zaman elajar kot tu. hehehe..dah lama sangat teringin nak sarapan kat situ. Semangat makan sebab fikir nak masuk wad kejap lagi kan.. Lepas sarapan terus lah ke wad. Selesai urusan suami tinggalkan saya sebab dia nak ke pejabat. 

Tunggu punya tunggu doktor pun datang. Bincang punya bincang diorang plan untuk beri kimo GDP. (Nanti saya akan cerita tentang kimo ni.) 

Alasan: sementara nak tunggu tarikh transplan tu, kanser saya perlu dikawal. Tambahan, hasil CT Scan yang terbaru tiada perubahan positif. Tambahan lagi tiba-tiba dada saya sakit. Sakitnya macam ada satu tekanan kat dalam. Paru paru kanan sebelah atas. Rasanya tak pernah sakit macam ni. Risaunya saya. Sebelum jumpa doktor saya hanya berikhtiar dengan sapu minyak Habbatus Sauda' yang diberi oleh sahabat suami.

Masa bincang dengan doktor saya mahu tangguh diberikan kimo sehingga dipasang Chemoport. Satu salur yang dipasang di vein di bahagian dada. Kelebihan? Anda tidak perlu dicucuk banyak kali untuk pasang branula. Kekurangan? Boleh kena jangkitan kuman. perlu jaga baik-baik. Kalau kena jangkitan kuman, mereka akan buang Chemoport tu. Dulu tu saya tak pasng sebab takut jangkitan la. Kesannya? sangat susah nak pasang branula kat tangan saya ni hah. Boleh sampai 4-5 kali cucuk baru berjaya. T_T

Hasil perbincangan. Doktor suruh balik. Datang semula 4/7 untuk pasang Chemoport dan teruskan dengan Chemo GDP pada 8/7. Heeee sukalah hati ni. Untuk kali ni dotor bekalkan saya satu jenis ubat. Dexa..... tak ingat ejaan. Satu jenis ubat steroid untuk kawal dan rawat kanser tu. Beserta dengan ubat batuk yang saya request dan ubat gastrik. Ubat batuk tu mengantuknya.. saya berhenti dah.. tak boleh buat kerja. tak boleh jaga Insyirah. 

Saya sendiri tak pasti bila sakit dada saya tu hilang. Sama ada kesan minyak habbatus Sauda' atau ubat tu. Wallahu'alam. Kebetulan saya makan ubat dan sapu ubat dalam tempoh masa yang sama. Tak apalah yang penting dah tak sakit. Semoga ianya terus hilang. Amin..

Ha... nak dijadikan ceritanya, petang tu jugalah saya discharge. hehehehe...suka...tapi hati berdebar menanti apakah pula Chemo GDP ini. Dan sehingga tarikh itu saya mahu tenangkan hati. Semoga nanti baik baik aja untuk saya. Amin..

Monday, June 24, 2013

Cerita tiada tajuk...

Haih.. Tak tahu nak tulis apa. Seminggu duduk kampung selepas majlis abang. Ikut perancangan balik ke Pulau Pinang selepas majlis dengan suami dan keluarga mertua. Apakan daya ribut yang melanda Pulau Pinang menyebabkan atap rumah sewa ayah diterbang ribut. Habis basah, banjir dalam rumah sewa. Tambahan yang menyewa tu jatuh saudara ayah mertua juga. Maka, tak jadilah. Mereka ke Johor. Hanya Insyirah dan suami sahaja naik bas ke Johor. Ahad pagi selepas majlis suami naik bas semula ke Penang.

Jerebu yang melanda Johor pula menyebabkan saya menambah masa di kampung. hehehe... Tak tahu nak balik macam mana. Nak naik bas tak larat. Nak naik flight, Johor Bahru jerebu teruk. Tak nak saya menempuh asap tu. Cari nahas. Entah macam mana, besan baru mak yang lebih mesra saya panggil Mama dan Baba nak ke Kedah. Abang Ilmam suruh saya dan Insyirah tumpang mereka. Alhamdulillah. Syukur. Cantik aturan Allah. Emak hantar sampai ke Bangi. Malam bertolaklah kami pulang ke Penang.

Malam sebelum pulang ke kampung Johor.
Suka gambar ni. Credit to Husna Yaacob (SIL)

Cukuplah seminggu dengan Insyirah dan Nenek Johor. Bukan senang jadi anak manja ni... Huhuhu..hati kena cekal. Kalau tak, mahu banjir Kampung Siam. Semua geram dengan Insyirah. Banyak cakap. Iya dia dah pandai cakap. Sudah boleh buat ayat. Mungkin betullah orang cakap anak perempuan lebih cepat cakap.Kena jaga percakapan kita, senang aja dia nak ikut.

Alhadulillah, dalam kekalutan saya yang selalu duduk dalam wad, Insyirah membesar menjadi anak yang cerdik, solehah, cerdas dalam dakapan kasih Insan sekelilingnya. Cuma garang dan agresifnya dia tu. Mungkin ikut perangai saya sikit kot. :P

Layan gambar di kampung.
Ni Insyirah dengan Akif lepas majlis. Dua-dua berangan atas pelamin.
(Saya pun tak perasan bila diorang bergambar. Letih sangat... Tengok tengok bibik jelitaku dah upload kat FB) 

Comel gambar ni..Suka sakat budak budak ni. 
Nasib oyi kecik lagi.. kalau tak ada je idea mereka.

Hambik..besar gambar. Muka dah sememeh je.. Sempat mintak kak ipar ambilkan gambar ni dalam kekalutan. 

Alhamdulillah...selesai majlis. sebenarnya abang Ilmam dah nikah 3/3/13.. Majlis bersanding atau resepsi sebelah perempuan 19/5/13 dan sebelah kami 15/6/13. Banyak kali kawen kan..Apapun moga mereka bahagia hendaknya. Official picture tak siap lagi..nnti kita cerita wedding ni eh.. i like!
 



Monday, June 17, 2013

"Wamakaru wamakarallah wallahu khairulmakirin"


Hujung minggu yang sangat letih. Sangat! Tapi sangat seronok. Sangat! alhamdulillah akhirnya dapat pulang ke kampung untuk majlis walimah abang saya. Setiba di kampung dari Hospital Ampang terus rewang. Bagai terlupa saya sangat penat dengan proses collection tu. Bila ditegur saudara mara barulah perlahankan langkah tu.

Hari kenduri sampai berlari lari saya kehulu kehilir. Saya nak balas dendam sebab tak dapat tolong emak seperti yang dirancangkan sebab tiba tiba masuk wad. Jika diikut perancangannya, saya perlu tulis nama untuk kad kahwin, sediakan almond Chip Cookies dan Jeruk Madu Pak Ali sebagai isi dalam goodie bag. Lagi dahsyat ada kalangan saudara mara saya mahu tempah kek dengan saya. Namun, perancangan Allah mengatasi segalanya. 

Eh, tempah kek? Buat cookies? Ya, ikut perancangannya saya mahu mulakan perniagaan homemade cake and cookies selepas kimoterapi ABVD. Namun, impian itu terbantut kerana saya perlu menerima rawatan kimoterapi ICE pula. Pandai ke? Entahlah. Setakat saya buat cookies tu melepasi piawaian. Sekali ngap habis seoven. hehehe...PERASAN! diorang yang rasa cookies yang cakap. Saya pun tak sangka rupanya minat saya ke arah itu. Cuba disuruh saya memasak. Mahu rentung yang didalam kuali. 

Namun, saya puas hati dapat siapkan dulang hantaran untuk majlis pertunangan adik ipar saya. Yang ini saya tahu saya memang berbakat. PERASAN LAGI! Dari kecil dah tolong emak dan atok mak menggodek-godek barang hantaran. Cuma saya tidak berkesempatan untuk menggubah barang hantaran. Suka buat kerja kerja kreatif ni. Namun jika disuruh saya jadi Mak Andam untuk majlis perkahwinan tidaklah saya mahu. Kahwin sendiri pun bergaduh tak nak pelamin, tak nak make up.

Insan-insan pesakit kanser disekeliling saya semuanya bekerjaya. Uncle Jamaluddin tidak pernah MC walaupun selepas kimoterapi. Wahida pun sudah bekerja. Kak Zaleha sambung kerja ditempat lama. Seorang lagi yang sangat memberi inspirasi kepada saya. Aunty Aini. Saya suka panggil mama je. Lebih mesra kot. Dia masih lagi aktif dalam dunia trades bersama Babah. 

Saya? itulah ikut perancangan saya mahu mulakan perniagaan homemade cake dan cookies (LISTENCAKE) di rumah. Namun, Perancangan Allah saya masuk wad semula. Sementara dalam rawatan kimoterapi saya tangguhkan dahulu Listencake. Kini saya melakukan perniagaan online di laman Facebook. Saya menjual pakaiain muslimah dan cadar Patch Quilt. Buat masa ini saya hanya menjadi agen jualan kerana sukar bagi saya menguruskan stok dari dalam wad. Bolehlah saya anggap ianya satu latihan sebelum saya benar benar menguruskan Listencake. Moga Allah mudahkan urusan saya dan kita semua. Lagipun penat kot duduk senyap dalam wad. saya perlu buat sesuatu. Dasar tak boleh duduk diam.

Sebab itulah tajuk post ini adalah ayat al-quran dari surah Al-Imran ayat 54.

"Wamakaru wamakarallah wallahu khairulmakirin"
bermaksud: Mereka Merancang, Allah juga merancang. Allah jugalah sebaik-baik perancang. 

Ya Allah, engkaulah yang maha mengetahui segala yang tyersembunyi. 
Lorongkanlah aku dalam jalan yang Engkau redhai. 
Ya Allah peliharalah kami didunia dan di Akhirat, berkatilah kehidupan kami, murahkanlah rezeki kami.

P/s: Hingga saat ini kaki masih lagi sakit. Penat sangat kot. Selama ini duduk diam dalam wad.  

Wednesday, June 12, 2013

CD34 Stem Cell Collection


Alhamdulillah, proses collection yang mendebarkan dah tamat. Ramai juga yang bertanya stem cell collection ni. Saya pun mulanya tidak bertanya pada doktor. Tapi bila terlalu banyak cakap cakap negatif tentang stem cell collection ni mulalah risau. Saya mula untuk buat sedikit pembacaan berkaitan stem cell collection. Saya tanya doktor dan nurse apa yang saya ragu. Alhamdulillah di Ampang saya dipantau oleh seorang doktor pakar yang sangat ceria, Dr Jay. Alhamdulillah, mudah, Allah sangat mudahkan. 

Collection ini dilakukan sebagai salah satu proses untuk transplan. Saya buat autologous transplan iaitu menggunakan stem sell atau sel induk sendiri. Untuk membuat collection ini bacaan CD34 itu mestilah lebih dari 10. Apakah pula CD34 tu? CD34 komponen dalam darah yang mengandungi sel induk. Kebiasaanya selepas 4hari dicucuk G-CSF/Neupogen barulah collection dilakukan. Tujuaannya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan sel induk. 

Proses untuk collection itu tak lama. Cuma untuk saya, bacaan CD34 agak lambat untuk naik walaupun selepas empat hari. Maka doktor menambah dos suntikan G-CSF. Proses ini tidak semestinya sama untuk semua. Ia bergantung kepada kondisi badan. 

Sebelum collection dibuat satu salur dimasukkan ke dalam vein. Tak tahu nak panggil apa. ada panggil catheter, ada panggil femoral atau IJC. Tak sakit, sebab dibius setempat. Selepas itu diteruskan dengan proses collection selama empat jam.

Saya cuba cari dari Mr Google gambar ni. 
Ini hujungnya sahaja. Lebih kurang 20 cm yang masuk kedalam vein. 
Dimasukkan dari pangkal peha.

Yang ini pula mesin yang ada dalam bilik Epheresis di Wad 7D hospital Ampang.
Salur tadi akan dihubungkan ke mesin ini. 


"Once the stem cells are collected they are carefully frozen and stored at –183ºC until needed. Further testing on the stem cell bag is done to count the number of stem cells in total. After enough stem cells are safely frozen, the transplant can begin (or further chemotherapy/radiotherapy given first). The frozen stem cells can be stored indefinitely"  Sumber Perthhaematology

Selepas itu salur dikeluarkan dan boleh keluar wad. Sel induk tadi akan disimpan di Hospital Ampang hinggalah tarikh untuk transplan saya di Penang nanti. 
Seketinya collection yang dibuat tidak mencukupi maka suntikan G-CSF akan diberikan lagi dan collection akan dibuat keesokan hari. Jika masih sama maka mungkin akan diberikan tarikh temujanji yang lain. Seperti yang saya katakan proses adalah berbeza bagi setiap orang kerana badan manusia ini tidak sama.
Untuk suntikan G-CSF  pesakit boleh membuat pilihan sama ada untuk duduk di wad atau berulang. 
# Tulisan saya bukanlah tulisan perubatan. Ini adalah atas pengalaman saya. Inisiatif penulisan apabila ramai yang bertanya tentang stem cell collection. Sebagai catatan diri untuk berkongsi dengan mereka yang seperti saya. Tidak mahulah mendengar cakap cakap sahaja sedangkan cakap cakap itu hanyalah yang didengar bukanlah yang dialami sendiri. 

Monday, June 10, 2013

Insyirah: Membesarlah Kamu Dalam Dakapan Kasih

Pejam celik hari ini umurnya genaplah dua tahun. Sekejapnya masa berlalu. Alhamdulillah, Insyirah seorang anak yang ceria, cergas, cerdas dan aktif. Ulang tahun pertama sambutan atas ihsan Bibik Jirah. Beli topi dan dua potong kek. Cheese cake! Dan Insyirah suka sangat. Hanya ibu, Insyirah, Bik Jirah, Nenek dan Bik Tazah di kampung. Ayah masa tu di Penang. Sorry, tak ada gambar. Masa tu belum maju. Hahaha..

Ulang tahun ke dua. Ibu dalam wad. So, tak adalah sambutan untuk dia. Insyirah dengan ayah di Penang.  Tak nak cakap banyak. Hari ni post akan penuh dengan gambar warna warni.

Koleksi gambar masa bayi. Hurmm.. Rasa cepat sangat dia besar.

Gambar ni paling saya suka. Aidiladha 2011. 

Budak tak ada gigi baru pandai duduk.. Topi nenek belikan..

Haaa...yang ni mesti ramai tak tahu kan. 
Ini adalah campuran gambar Insyirah dan gambar sepupu saya (Najihan) aka bibik Insyirah semasa kecil.
Sama dan serupa kan? Hahaha
Sekarang adik si Najihan(Nawwarah) pula yang terkenan Insyirah.
Beza mereka dari segi warna. Insyirah guyap sikit.
Dah besar tak lah sama sangat. Perangai sikit sikit sama... Gayang! Hahaha...

Saya cakap gambar ini wajah kesayangan hamba.. 
Macam-macam mak nenek sorang ni.. Hehehe..

Gambar ni diambil masa dia tengah lari lari.. Saya marah..
Tiba tiba ambil kain and solat.. Hehehe... Cukup semua perbuatannya. 
Anak kecil mudah ikut apa yang orang buat. 
Harapnya Insyirah mudah untuk dibentuk dan dilentur menjadi mukminah.

My cutie Pie

Ok dah habis....last..

HAPPAY BIRTHDAY INSYIRAH!
Kullu 'am wa antum bikhair.
Ibu ayah sayang awak. 
Family Johor, Family Penang Sayang awak. 
Aunty Uncle sahabat ibu ayah semua sayang awak.
Sayangnya Tuhan lebih lagi. 
Kerna itulah ini ujian buat ibu, buat ayah, juga buatmu.
Ujian juga buat semua yang sayang pada kita.
Jangan pernah rasa sunyi
Jangan disia kasihnya orang
Membesarlah kamu dalam dakapan kasih itu
Moga suatu hari nanti kamu faham apa itu tabah, cekal dan redha hadapi ujian
Membesarlah kamu menjadi muslimah, mukminah yang memberi untuk ummah.

Hadiah birthday in advance dari maklong, maman ilmam, bibik balqis. 
Thanks semua untuk kasih sayang ini.

Sunday, June 9, 2013

Pelayaran Hidup Hajjar Hassan

Hari ini duduk wad terfikir tentang My Hodgkin Lymphoma Journey ni. Apakah yang saya kutip sepanjang Journey/pengembaraan/pelayaran ini. Tambahan terbaca pula tulisan Ustaz Hasrizal.

Sebelum graduasi saya dah tetapkan sasaran untuk kerja dibahagian pengurusan sisa pepejal. Saya dah terbayang bayang disitulah daratan saya. Akan saya mula bercucuk tanam hingga menjadi gunung ganang.

Ditakdirkan saya berkahwin, tinggal di KL, mengandung, gugur. Selepas itu, masih mencari kerja kerana masa itu saya sangat sukakan bahagian sisa pepejal. Tapi, belum rezeinya. Rakan sekuliah ramainya mohon kerja di bahagian Waste water atau quality qontrol di kilang. Saya tak minat bahagian itu. Entah macam mana suami cadangkan saya memohon kerja sementara di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat. Saya seronok dan teruja. Hahahaha.. Saya ok je.

Habis kerja sementara, saya ditawarkan sebagai pekerja tetap dengan jawatan Setiausaha Kerja Pusat. Owh, masa ini saya berbelah bahagi kerana bukan mudah rupanya kerja di pejabat. tambahan pejabat parti. Baru saya tahu penatnya untuk handle sebuah parti. Kerenah ahli, kerenah pihak lawan. Owh, satu kejutan untuk saya. Biarpun sudah biasa dengan kerja jemaah islam di kampus, kerja politik kampus..tapi, jauhnya macam panggang dengan api. Cuma satu yang sama, surat saya still kena betulkan dengan my bos. Hahaha..

Di saat sudah mula menyayangi kerja itu, Suami saya dapat pula tawaran kerja Pulau Pinang. Owh, beratnya hati. Sedih pun ada. Maka mulalah kehidupan saya sebagai anak perantauan di Penang. Di Penang kami tinggal dengan keluarga mertua. Tak sempat nak cari rumah. Tambahan dekat sangat dengan tarikh due masa tu.

Selepas bersalin saya menganggur selama 9 bulan sebelum menjadi guru ganti selama 4bulan  sehinggalah saya disahkan Hodgkinn Lymphoma. Dan sekarang saya berfikir di mana daratannya untuk saya melabuh pelayaran?

Apa yang difahami dari artikel Ustaz bila kita sudah mendarat itu berusahalah sehabis baik. Jika kita rasa daratan itu bukan untuk kita maka teruskan pelayaran mencari daratan yang lain. Owh, makanya saya tidak harus berputus asa. Buat masa ini saya sedang cuba cuba untuk berniaga. Saya mulakan dengan membuat Homemade Cake. Namun impian ini disimpan hinggalah saya benar benar sihat. Homemade Cake perlukan kekuatan stamina yang tinggi untuk duduk di dapur. Sayangnya saya cepat letih. Tambahan saya terpaksa lalui sesi kimoterapi sekali lagi. Makanya saya simpan dalam hati hasrat dan impian Homemade Cake saya ini. Bakat? Saya tiada bakat. saya malas masak. Cuma Saya minat. Sangat minat dengan baking! Saya harap dengan minat yang mendalam onak duri ranjau akan dapat saya harungi.

Sekarang saya mahu buka perniagaan online pula. Untuk permulaan saya ini saya mulakan dengan agen dropship dahulu. Sebab? Saya duduk dalam wad. Mcam mana nak simpan stok. Harapnya dapatlah dijadikan latihan untuk saya sebelum benar benar berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Hurmm.. Duduk wad ni saya ambil peluang untuk merenung masa hadapan. Here and hereafter. Apa yang saya buat di sini akan dikira disana. Maka, saya merancang untuk menjadi yang terbaik. Dan yang berguna untuk ummah dalam medan saya sendiri.

Ya Allah jadikan kami hambaMu yang beriman dan beramal soleh..

Friday, June 7, 2013

Stem Cell Collection di Hospital Ampang

Alhamdulillah, saya dah sampai Ampang. InsyaAllah dalam seminggu lebih lebih paling lama di sini. Tujuannya untuk Stem Cell Collection. Stem Cell Collection berbeza dengan Bone Marrow. Saya cuba terangkan dengan ringkas perbezaannya dengan bahasa sayalah pelajar Teknologi Persekitaran.

Bone Marrow saya pernah buat di Johor Bahru. Prosesnya pesakit akan diiringkan dan pinggul pesakit akan digerudi. Rupanya baru saya tahu ada dua keadaan semasa proses ini. Sama ada pesakit dibius sepenuhnya atau dibius dibahagian itu sahaja. Macam saya dibius sepenuhnya. Maka, tidurlah tak bangun bangun. Suami kata lama jugak. Dalam dua jam saya tak sedar. Habis proses tu pun masih tidur lagi. Kebetulannya saya jumpa video. Tapi sayang tak dapat nak copy link. Tak mahir pakai ipad. Tak apalah readers boleh google je 'proses Bone Marrow'. InsyaAllah keuarlah berderet carian anda.

Untuk proses Stem Cell Collection ni pulak saya baru je nak buat. InsyaAllah hari Selasa ni. Takut! Tambahan ramai cakap bahayalah, nanti lumpuhlah. Allah! Hanya saya yang tahu debarnya. Tapi selepas mendapat sedikit pencerahan akhirnya baru saya yakin dan berani. Owh bukan politik je perlu pencerahan. Perubatan pun perlu okay! Hahaha.. Ha lah manusia kan senang membuat kesimpulan dan andaian walau dari khabar angin.

Ok, sekarang mari saya terangkan proses Stem Cell Collection. Stem Cell Collection prosesnya hanya 4jam sahaja! Owh sekejap ja..sakit? Entahlah.. Belum buat lagi.. Sebelum tu kena cucuk Neupogen selama 4hari. Hari ke lima akan start collection tu. Caranya ialah dengan cucuk kat peha dan akan ada salurannya untuk collect stem cell tu. hish susah payah nak cerita sebab tak lalui lagi.. nanti eh, saya update.Dan pagi ni Doktor round wad dia tanya.

Dr: awak ada keluarga sekitar KL?
Saya: Tak ada, kenapa doktor?
Dr: Owh, tak adalah..kalau ada boleh awak berulang kalau nak.

Ah! Jatuh rahangku dengar. Awatlah tak habaq awal awal.. Ada jugak ku menumpang saudara maraku disini. Oh doktor. Tak apalah duduk diam diam kat wad.

Tuesday, June 4, 2013

CT-NTAP Scan kali ke 3

Alhamdulillah.... CT-NTAP Scan kali ke tiga. Yang pertama atau kedua tiada entry. Sebab? Masa tu tak larat la nak tulis tulis. Emosi pun tak stabil. Adanya ceritaku dalam blog suami. Kali ni suami tak update  cerita saya. Saya kena tulis sendiri. Sebab saya tau ada sahabat yang nak tahu perkembangan saya. Maaf ya sebab saya punya tulisan tidak seperti suami. Dia pandai mengolah cerita. Saya kan hati kering.

Baiklah hari ni CT-NTAP Scan untuk kali ke3. Yang pertama dan kedua dijalankan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Oleh kerana dah melalui dua kali kimoterapi ICE maka doktor nak tengoklah perkembangan sesuatu di paru paru ni.

Haa...sebelum tu kena minum air kat bawah ni... Namanya Contrast Fluid..

Er.. Rupanya lain hospital lainlah caranya eh? Dulu kat HSA contrast fluid jernih. Kat sini contrast fluid tu warna oren.

Lepas tu er.. Sikit contrast tu masuk ikut punggung... Sungguhla.. Dulu tak ada pun... Aish.. Malu tau.
Keputusan lagi dua minggu.. 

Eh, baru perasan. Tak cerita punmlagi tentang Kimoterapi ICE Cycle 2 kan? Emm.. Tak perlu kot... Sama ja.. Cuma kali ni Alhamdulillah tak batuk, demam atau lain lain penyakit berjangkit.. Bosan duduk wad.. Kadang kadang merungut kat emak. Lepas tu emak cakap.. Ngajilah..er.. Baik. Tutup phone terus ngaji..

Kadang kadang duduk wad sorang sorang buat saya melayan perasan. Selalu terfikirkan emak.
Ya Allah, kau tempatkanlah kedua orang tuaku dalam syurgaMU. Tempatkanlah mertuaku dalam syurgaMu. 

Kadang kadang teringatkan ayah.. Allah... Andai ayah ada lagi...saya ingin dengar kata semangatnya. Ayah tak banyak cakap. Tapi apa yang keluar dari mulutnya sesuatu yang berharga. Ayah, Hajjar rindu...rindu senyum ayah yang sangat menenangkan. Ayah tak pernah mengadu lelah dan penat untuk kami. 

P/s: baca cerita ni tak ada feel kan? Sesungguhnya siapa yang kenal saya tahu saya bukan seorang yang mudah untuk luahkan rasa itu. Apapun doa dari kalin amat saya harapkan. 

Monday, May 27, 2013

Kanser dan Support Group

Kalau hari tu saya sedih, Alhamdulillah hari ini saya lebih tenang. Semalam, selepas solat hajat saya mengaji. Dan saya rasa seolah olah Allah sedang berbicara dengan saya melalui kalamNya. Tenang dan tenteram jiwa ini. Alhamdulillah. Allahu Akbar. Maha SuciMu ya Allah. Ya Allah jangan kau tarik nikmat ini yaAllah.

Masa mula mula saya sakit Allah takdirkan dua insan ini datang pada saya. Alhamdulillah mereka banyak membantu saya dalam melawan  kanser.  Alhamdulillah, Allah hantar dua insan ini tepat pada masanya. Di kala saya teraba mencari kekuatan dalam kegelapan. Alhamdulillah akhirnya saya hadapi ABVD dengan selamat. Terima kasih Uncle Jamaludin (ayah kakak angkat saya di sekolah) dan Wahida dari UPM (silent reader bolg suami). Uncle Jamaludin bekas pesakit Non Hodgkin Lymphoma dan Wahida Hodgkin Lymphoma.


Mereka kongsikan pengalaman mereka. Mereka tiupkan semangat untuk saya. Alhamdulillah saya dapat hadapi dengan tenang sepanajng tempoh ABVD.


Dan kini, bila saya rasa takut untuk hadapi transplan Allah takdirkan perkenalan dengan Kak Zaleha melalui Kak Zarina. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Banyak perkongsian daripada Kak Zaleha yang pernah menjalani transplan. 

Sungguh, saya telah serahkan semuanya pada Allah. Saya serahkan semuanya pada Doktor. Saya hanya berdoa dan bertawakkal agar semua dipermudahkan. Tapi, bila ada yang bertanya dan seolah meragui keputusan ini, saya lemah kembali. Kadang kala air mata ini tak dapat saya tahan. 

Saya rasa sepanjang saya sakit ini 'support' orang sekeliling yang mengalami amat amat membantu saya menaikkan semangat saya. Walaupun dikatakan kanser saya kategori yang kurang famous. Namun, ia tetap kanser dan sudah di tahap 4. Saya juga perlu melawan dan tidak boleh mengabaikannya. Maka, saya cari sokongan yang lain. Alhamdulillah, tiga insan ini saya anggap sebagai cancer support gruop saya walaupun mereka sendiri tidak mengenali satu sama lain. 

Keluarga sahabat adalah moral support saya untuk saya lawan kanser ini. Mereka kekuatan saya untuk hidup sihat. Maka saya harapkan doa anda semua untuk saya kuat.

Sunday, May 26, 2013

Transplan

Hari ini jiwa benar benar sayu. Sesungguhnya apa yang berlaku pada saya ini satu ujian yang berat untuk saya dan keluarga. Hanya doa semoga Allah mudahkan urusan kami, ringankan beban kami dan semoga sembuhlah saya dari sakit ini.

Melihatkan risalah tentang transplan buatkan hati saya sangat sayu. Sukarnya untuk buat pilihan ini. Perubahan besar untuk saya. Ianya harapan besar buat saya dan keluarga. Saya mohon supaya ini yang terbaik untuk saya.  Saya cuba menahan sedu semasa mengaji. Saya mohon kekuatan dari Allah untuk tempuhi ini. Saya katakanpada diri. Ramai yang mendoakan. Ramai yang menanti saya. Insyirah dan suami sumber kekuatan saya.

Semoga Insyirah tidak merasa kurangnya kasih saya padanya. Biarpun masa saya dengannya sangat terbatas. Saya harap dia rasa kasih tulus itu. Kalau dapat ingin saya dakap dia selalu.

Untuk transplan ini saya akan tinggalkan dia dalam seminggu hingga dua minggu untuk pengambilan air sum sum tulang di Hospital Ampang. Selepas itu duduk di wad selama sebulan untuk proses pemindahan di Hospital Pulau Pinang. Biarpun banyak desas desus. Tidak kurang yang menghalang namun, ini pilihan. Dan saya pilih untuk ini. Saya mohon pada Allah agar dia memelihara saya. Agar perjalanan ini berjalan dengan baik dan jaya. Agar dia berkati hidup kami sekeluarga. Sungguh hati sayu, sedih dan gementar saat ini.


Ya Allah, hamba sering lalai dan leka. Dakaplah hamba dengan rahmat kasih sayangMu. Kurniakanlah kesembuhan pada sakitku. Ringankan beban hambaMu

Monday, May 6, 2013

Kimoterapi ICE-Cycle1

Namanya kimoterapi ICE. Mana datangnya nama ICE ni. Nama regim ubat tu memang ICE. Tiada kaitannya dengan air batu.

Nampaknya pengalaman pertama dengan ICE kurang baik. Separuh sesi, saya dijangkiti demam dan batuk. Doktor Pakar Goh Ai Sim memutuskan untuk menangguhkan kimoterapi ni dan pindahkan saya ke 'Isolation room'.

Oh.. Nampak menarik. Bilik seorang ada tv..tapi sayang air cond rosak. Tambahan ada renovation sebelah bilik. Tapi, dengan kondisi badan yang lemah sebab demam, batuk dan muntah semua tu tak memberi kesan apa apa.

Selepas 3hari demam kebah. Doktor teruskan dengan kimoterapi yang tertangguh. Sesi diteruskan dengan antibiotik IV Tienam. Selain IV Tienam doktor suntik Neupogen kerana sel darah putih turun dengan cepat. Tambahan Platlete. Huu.. Banyakkan? Alhamdulillah. Semua dapat dilalui dengan baik.

Pengalaman kimoterapi kali ini agak menggugat kekuatan. Seminggu selepas kimoterapi, rambut mula gugur. Alhamdulillah saya hadapi dengan tenang. Saya perasan suami agak terkejut. Tapi, dia cuba memberikan saya semangat. Ya, saya rasa semangatnya itu. Maka saya tidak bersedih dengan kekurangan ini.

Kakak Naqibah pula hadiahkan saya buku Zikir Penawar Kanser terbitan Telaga Biru. Bagus. Cuma ada beberapa yang tak dapat saya ikut. Takut salah faham dalam pengamalan. Saya ambil yang biasa dahulu.

Untuk Cycle 1 saya ditahan selama 18 hari. Lama kan? Rindu sungguh pada Insyirah. Dapat je keluar wad rasa nak peluk cium Doktor Goh tu. hehehe... Selepas seminggu akan masuk semula untuk Cycle 2 InsyaAllah.. Moga Allah permudahkan.

Disqus for Love Insyirah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...