Saturday, June 27, 2009

MB: Laksana PPSMI 'tidak beretika'

Jimadie Shah Othman | Jun 27, 09 1:03pm
Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.

"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."

Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi.

Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.

Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

"Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja.

"Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Disqus for Love Insyirah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...